Monday, April 30, 2007

TERJERAT PADA SI ALIM KUCING

Manusia memang sentiasa hidup dalam lakonan. Sejauh mana mereka mampu membawakan watak yang dicipta sendiri itu, terpulanglah kepada keadaan dan masa. Biasanya, lagi kuat watak yang dibawa sehingga orang lain boleh terpengaruh, maka lagi kukuhlah segala apa yang dirancang menjadi kenyataan.
Dalam kehidupan seharian, kita tidak pernah sunyi dari melihat atau mendengar tentang pelbagai kisah yang berlaku di depan mata kita, terutama dari gerak laku dan gaya seseorang, yang jika tidak dikaji atau diselidik baik-baik, boleh menjerat diri kita sendiri.

Manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi hajat di hati. Dosa atau pahala tolak dahulu ke tepi, yang penting pasang rancangan, dan lakukan yang terbaik. Untung sabut pasti akan timbul juga. Cuma bagi orang-orang yang tidak tahu atau tidak menyangka sesuatu lakonan sedang berlaku di depan mata, sudah pastilah mudah terjebak, apatah lagi jika lakonan itu memang hidup dan tidak langsung menunjukkan cacat celanya.
Kisah yang dipaparkan ini ada kena mengena dengan apa yang diperkatakan ini. Seorang lelaki yang nampak alim dan kuat beribadah serta sentiasa menolong orang, telah menunjukkan belang sebenarnya apabila memperkosa seorang gadis muda remaja yang baru sahaja tamat sekolah.
Selepas segala kemahuannya tidak dilayan oleh gadis berkenaan, dia yang hilang sabar, telah melakukan pekerjaan terkutuk itu sehingga gadis tersebut mengandung. Bukannya gadis berkenaan tak mahu melapurkan hal itu kepada ibu, bapa atau sesiapa juga, tetapi di masa yang sama dia telah diugut akan disiram asid ke mukanya yang cantik itu.
Membayangkan wajahnya akan menjadi buruk dan tidak siapa lagi yang mahukannya kalau berlaku petaka itu, menyebabkan gadis tersebut tidak berani melapurkan keadaan sebenar sehinggalah apabila dia mula mengandung dan ibunya memaksa dia memberitahu siapa yang bertanggungjawab, dia tiada pilihan.
Apakah kesudahan kisah ini. Bagaimana dengan lelaki yang berlagak alim itu menghadapi situasi genting yang melibat maruah dan harga diri ini?
Semoga kisah ini akan dapat menjadi renungan kita bersama. Jangan menjadi haiwan yang berlagak manusia, dan jangan cuba bertindak di luar batas kemanusiaan. Yang keji dan jijik pasti akan mendapat pembalasan. Selamat Membaca.
Hai, nama aku Linda (bukan nama sebenar). Usia aku ketika ini 21 tahun. Sudah tiga tahun peristiwa hitam ini berlaku dalam hidup aku. Puas aku cuba melupakan, tetapi ia tetap datang dan muncul bersama mimpi ngeri yang boleh membuatkan aku histeria.

Sebenarnya banyak yang terbuku d dalam hati aku yang harus aku ceritakan pada pembaca semua. Aku tidak berniat hendak menyinggung perasaan sesiapa, sekadar melepaskan rasa tertekan dalam diri. Selagi tidak aku lepaskan, selagi itulah aku merasa tertekan dan aku takut akhirnya aku akan hilang sabar dan menjadikan aku gila atau separuh sasau.
Tidak pernah aku pinta akan jadi begini. Dan sepanjang hidup, tidak pernah pula aku menyakiti sesiapa. Aku sedar siapa aku dan aku juga tahu, jika aku menyakitkan seseorang, maka pembalasannya dari Tuhan adalah sakit juga. Aku tak sanggup nak menerima pembalasan Tuhan itu, kerana aku tahu, ia satu pembalasan yang tidak mampu aku hadapi.
Sebab itulah aku begitu menjaga tatasusila aku agar tidak ada yang sakit hati atau geramkan aku. Di segi pakaian juga, aku sentiasa mempastikan agar tidak menjolok mata. Aku tak mahu orang berbisik mengutuk aku di belakang. Sebab itulah aku terus bertahan dan akan mempertahankan cara itu selagi termampu.
Bukannya tak mahu atau tak teringin mencuba fesyen moden yang menyerlahkan bentuk tubuh untuk mendapatkan perhatian, tetapi entahlah, demi kebaikan diri dan keluarga, aku hanya pendamkan sahaja. Aku terasa juga bila ramai yang mengutuk aku sebagai orang kampung ketinggalan zaman. Gadis kampung tak pandai bergaya, tapi apalah yang boleh aku buat untuk membuktikan kenyataan itu palsu.

Di sekolah, ramai kawan-kawan aku yang berani dan megah menggayakan feyen terbaru sewaktu lepas habis sekolah. Masing-masing dengan bangga memperagakan pakaian mereka dan saling kutuk mengutuk pula. Biarkanlah, kerana itu hak mereka. Aku hanya mahu lihat sejauh mana mereka boleh pergi dan sejauh mana juga mereka mampu mempertahankan harga diri mereka.
Di zaman moden yang serba canggih dan mencabar ini, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Manusia-manusia durjana yang sentiasa mengintai peluang untuk memerangkap mangsa sentiasa menga-ngakan mulut untuk membaham mereka yang lalai. Itulah yang paling aku takut. Walaupun aku sedar, aku memang cantik dan kalau aku berani menonjol seperti mereka, aku akan jadi rebutan ramai lelaki, namun aku bukan dari jenis manusia hipokrit yang mahu memainkan perasaan orang melalui kecantikan dan tubuh badan.
Kalau ada lelaki yang mahukan aku, biarlah kemahuannya itu di sebabkan dia memang sayangkan aku, bukan kerana wajah dan bentuk badanku.

Dan seandainya cara atau gaya aku ini tidak menyenangkan lelaki, aku tak kisah. Biarlah tidak ada lelaki yang mahu mendekati aku. Aku serahkan segalanya pada Tuhan dan aku yakin, jodoh aku telah ditentukan Tuhan, jadi aku tak perlu mengejar atau mencarinya. Sampai masa dan serunya, pasti aku akan ditemukan juga dengan lelaki itu.
Memang ramai kawan yang mengutuk aku, kononnya aku tak pandai sosial. Aku gadis kampung yang ketinggalan zaman. Kuno dan masih berfikiran primitif. Tak kisahlah apa yang mereka nak kata. Aku tahu apa yang aku buat, dan aku tidak mahu terjebak ke dalam kancah yang boleh menguburkan aku walaupun sebenarnya aku masih belum mati.
Ayahku seorang yang agak alim di dalam kampung dan dia amat disegani kerana sikap ramah dan baik hatinya yang suka menolong orang lain yang ditimpa kesusahan. Ibuku pula memang baik budi bahasanya dan amat disenangi oleh wanita-wanita kampung tak kira berapa usia mereka.
Aku adalah anak bongsu dari tiga beradik. Dua yang atasku ialah abang dan kakak. Mereka semuanya dah berumahtangga dan tidak tinggal di kampung kerana masing-masing merantau untuk mencari rezeki. Di rumah yang tinggal hanya aku, ayah dan ibu.
Oleh kerana anak bongsu dan perempuan pulak tu, maka aku memanglah manja dan sentiasa mendapat perhatian ayah dan ibuku. Apa sahaja yang aku mahu tak pernah yang tak dapat. Kebetulan hidup kami agak senang, jadi soal wang memang tak jadi masalah.

Untuk ke sekolah, aku menaiki basikal hadiah dari ayah kerana aku lulus cemerlang dalam SRP. Memang sepatutnya aku duduk di asrama penuh sebaik lepas SRP, tetapi aku tak mahu. Aku tak boleh berenggang dengan ayah dan ibu. Kalau aku kehilangan mereka, aku rasa hidup aku macam tak sempurna. Lalu aku tolak tawaran itu dan hanya meneruskan pelajaran di sekolah biasa.
Di dalam kampung, memang ramai pemuda yang tergila-gilakan aku, tetapi aku tak pernah mahu melayan mereka sepenuh hati. Bukan aku sombong atau tak sudi, tetapi aku tak mahu melibatkan diri aku dalam kancah percintaan yang sia-sia itu. Lagipun aku tak mahu nama baik ibu dan ayah tercemar. Aku tak mahu orang kampung memandang serung pada ibu dan ayah yang selama ini cukup dihormati.
Mungkin di sebabkan kecewa dengan sikap aku, adalah segelintir pemuda tu yang macam berdendam dengan aku. Ada yang berani mengeluarkan kata-kata kesat pada aku dan tak kurang juga mengeluarkan perkataan lucah setiap kali bertembung dengan aku.

Tapi aku buat tak kisah. Lantaklah apa mereka nak kata. Asalkan mereka bahagia sudahlah. Aku tak peduli, malah aku tak langsung ambil pusing. Semua perkataan itu aku biarkan masuk ikut telinga kiri dan keluar pula ikut telinga kanan. Kalau dilayan boleh gila jadinya.
Tetapi berlainan pula dengan sikap seorang pemuda tu. Dia nampak begitu baik dan alim sekali. Selain itu, dia juga nampak lemah lembut. Semua orang kampung hormat pada dia, walaupun masih muda. Dia seorang yatim piatu kerana ibu dan ayahnya dah lama meninggal. Dia tinggal di rumah pusaka peninggalan ayah dan ibunya dan mengusahakan tanaman kokonya sendiri seluas lima hektar, yang juga kebun pusaka.

Walaupun harga koko begitu rendah, dia tidak pernah patah semangat. Hasil dari kebun itulah dia menyara hidup. Meski tidak mewah, tetapi cukup untuk menampung hidupnya sendiri.
Dia juga memang tertarik pada aku, tetapi tidak pernah sekali dia cuba untuk menggoda aku. Aku sedar detik hatinya melalui tenungannya setiap kali berselisih dengan aku. Sikap dan perangainya itu memang membuatkan aku tertarik, tetapi takkanlah pergi yang nak mencari timba pulak.
Memanglah aku berharap dan berdoa supaya hatinya terbuka untuk memikat aku kerana aku tidak akan menolak jika dia berani mengeluarkan kata-kata itu, tetapi entah kenapa Tuhan tidak memakbulkan doa aku itu. Hari yang terus berlalu menjadikan aku pemuja bayang, sedangkan dia tidak pernah mahu mencuba atau berani membuka mulut.
Mungkin di sebabkan sikapnya yang pemalu itu menjadikan dia buntu untuk mengeluarkan kata-kata pada aku. Aku faham keadaan itu, sedikit sebanyak caranya itu menjadikan aku semakin menyanyanginya. Aku harap, satu masa nanti, dia akan berani untuk bersemuka dan meluahkan perasaan hatinya kerana aku memang mengharapkan itu darinya.
Pernah sekali tu aku terserempak dengannya ketika aku baru balik dari kebun getah ayahku yang terletak tidak berapa jauh dari kebun kokonya. Masa tu aku hanya berbaju T dan berseluar jeans lusuh, maklumlah membantu ayah dan ibu membersihkan kebun. Mulanya mahu sahaja rasanya aku bersembang panjang apabila dia sambil tersenyum menegur aku.
Namun, di sebabkan aku masih ingat tatasusila, jadi aku batalkan hasrat itu. Yang dia pulak, nampak macam tak berminat nak meneruskan kata-kata. Sebaik menegur, dia terus berlalu meninggalkan aku terus tercegat seorang diri memerhati tingkahnya.

Sejak itulah aku mula terasa betapa untuk mendapatkan pasangan yang sesuai dan secocok memang terlalu sukar. Kalaulah aku ni jenis gatal dan melayan semua lelaki yang cuba menggoda aku, sudah pasti aku punya ramai teman lelaki. Tapi nasib baiklah aku dari jenis yang tak suka cakap banyak dan sentiasa berhati-hati dengan setiap gerak laku, maka sewajarnyalah aku sentiasa kesaorangan untuk tempuh beberapa lama.
Sebenarnya apabila aku tamat SPM sahaja, ayah dan ibu sudah mula bertanya aku, apakah tidak terlintas di fikiran mengenai kehidupan berumahtangga. Menurut mereka, di dalam zaman yang serba maju dan canggih ini, perkara yang baik tidak boleh disimpan lama-lama. Jika ada hasrat dan keinginan, ditambah pula kalau sudah ada yang berkenan, mereka tak kisah jika aku membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga.
Mereka begitu teringin melihat aku bersanding di pelamin kerana mereka telah mengatur satu perancangan untuk kenduri kahwin aku. Tetapi entahlah, aku sendiri tidak pernah terfikir ke arah itu. Masih terlalu muda dan mentah untuk aku merancang semua itu. Aku mahu terus sendiri bersama mereka dan biarlah, apabila sampai masa yang sesuai aku akan merancangkannya.

Mentelah lagi apabila aku memang tak punya teman lelaki. Macam manalah aku nak merancang. Lainlah kalau aku ni lelaki. Kalau ada yang berkenan, bolehlah juga suruh ibu dan ayah pergi meminang. Tapi aku hanya seorang gadis yang hanya menunggu pinangan dari sesiapa yang mungkin berkenankan aku.
Memanglah aku simpati dengan ayah dan ibu kerana begitu teringin melihat aku menjadi raja sehari. Apatah lagi apabila memikirkan usia mereka yang semakin tua itu. Kalaulah sehingga akhir hayat mereka, aku masih belum bertemu jodoh, tentulah mereka akan terkilan. Aku tak mahu mengecewakan mereka. Kalau boleh, aku mahu sentiasa menceriakan kehidupan ayah dan ibu. Tapi apalah dayaku...
Pernah sekali tu, semasa abangku balik ke kampung beberapa hari, dia mencadangkan supaya aku tinggal dengannya di Kuala Lumpur kerana banyak peluang kerja yang menanti, tetapi aku tak mahu, atas alasan belum bersedia untuk menjadi orang bandar. Aku rasa lebih selesa dan lebih gembira tinggal di kampung yang damai dan aman itu.

Begitu juga dengan kakakku. Semasa dia pulang ke kampung, dia pernah mencadangkan aku untuk berkahwin dengan adik angkatnya yang bekerja sebagai posmen. Menurutnya, pemuda itu baik dan berhemah tinggi. Tetapi entahlah, tidak berkenan langsung di hati aku untuk terus menerima tawaran itu. Bagi aku belum masanya untuk menjadi suri rumahtangga.
Itulah yang membuatkan ayah dan ibu aku risau. Dia takut aku hidup sebatang kara kalau ditakdirkan Tuhan umur mereka tidak panjang. Tapi aku bukan jenis manusia yang cepat melatah. Kalau takdir itu berlaku, tahulah aku menjaga diri. Pandailah aku hendak hidup. Lagipun, abang dan kakak aku tak akan membiarkan aku begitu sahaja.
Sesekali, bila aku termenung memikirkan nasib, aku rasa macam ada sesuatu yang tak kena pada aku. Berbanding dengan kawan-kawan sebaya aku yang kebanyakannya ketika itu sudah pun berhijrah ke Kuala Lumpur dan ada yang telah berjaya mengejar cita-cita, tetapi aku masih lagi terperuk di dalam kampung. Aku seolah-olah memang seperti apa yang pernah dikatakan oleh kawan-kawan dahulu, hidup di zaman primitif yang dunianya hanya berkisar di satu tempat sahaja, sampaikan langsung tak tahu menahu tentang perkembangan dunia luar.
Apabila aku bayangkan pula pemuda baik yang menjadi idaman hatiku itu, aku rasa akan bahagia kalau dapat hidup bersamanya. Cara hidupnya yang sederhana dan tak mahu mencampuri urusan yang tak penting, sudah pasti mampu memberikan kebahagiaan pada aku.

Bukan sebab wajahnya yang kacak dan tubuhnya yang sasa membuatkan aku tertarik, tetapi sikap dan tingkah lakunya itu menjadikan aku cukup terpesona. Aku rasa dia memang sesuai dengan aku dan rumahtangga yang kami bina nanti sudah pasti akan sentiasa diterangi cahaya kebahagiaan selamanya.
Tapi apalah dayaku, kalau setakat berangan-angan tu bolehlah. Yang lain aku hanya mampu menyerahkan pada takdir sahaja. Kalau memang dialah jodoh aku, aku pasti akan mendapatkannya satu hari nanti. Kalau tidak, walaupun kami bercinta macam nak rak, tetapi dia tetap akan terlepas ke tangan orang lain juga. Yang kecewa adalah aku. Lantas aku pasang tekad, untuk tidak terlalu memikir dan mengharapkan dia dalam hidupku.
Tetapi apa yang aku sangka tentang dia sebenarnya hanya sangkaan semata-mata. Rupa-rupanya dia adalah jembalang yang bertopengkan manusia. Ibarat seekor kucing yang tak langsung memandang ikan di depan mata kerana ada tuannya, tetapi akan terus menerkam dan membaham ikan tersebut apabila tuannya pergi, begitulah dia.
Barulah aku sedar rupa-rupanya dia hanyalah alim kucing sahaja. Dia pandai berlakon sampaikan tak siapa dapat menduga atau menyangka sikapnya yang sebenar. Hanya apabila apa yang dilakukannya pada aku pada suatu petang, barulah aku tahu siapa dia.
Memang aku mengaku, aku sebenarnya tak begitu kesal atau kecewa dengan sikapnya, walaupun terpaksa menggadaikan maruah aku, tetapi di sebabkan perlakuannya yang lebih ganas dari binatang itulah yang menjadikan aku amat kesal dan kecewa.

Kalaulah dia boleh berlembut atau pandai memujuk, mungkin aku boleh terima. Sekiranya dah tak tahan sangat, apa salahnya kalau berkahwin sahaja dengan aku dan selepas itu, terpulanglah, walau macam mana sekalipun yang hendak diperlakukan pada tubuh aku, aku tetap merelakan kerana aku telah menjadi haknya yang sah.
Tetapi di sebabkan sikap hipokritnya selama ini telah menjadikan aku mangsa kebuasan nafsunya yang gila dan tidak berperi kemanusiaan itu. Dan dia pula, selepas peristiwa itu, hanya tersenyum dan mengugut akan mencederakan wajah aku menggunakan asid. Menurutnya, kalau aku mahu terus cantik dan sentiasa menjadi rebutan, aku harus menutup mulut. Kalau tidak, aku akan merana dan menyesal seumur hidup.

Itulah yang menakutkan aku sampaikan aku memang tak berani langsung hendak membuka mulut. Aku memang takut jika wajahku cacat dan buruk. Aku akan dihina dan dikeji sepanjang hayat. Biarkanlah dan aku rela apa yang telah berlaku itu, asalkan aku terus macam aku ketika itu. Lantas aku terus berdiam diri dan tidak sesiapa dapat menyangka atau menduga apa sebenarnya yang telah berlaku antara aku dengan dia.
Kisah berlaku pada suatu petang, ketika aku hendak pulang ke rumah dari kebun menolong ayah. Oleh kerana hari itu cuaca agak mendung dan hujan akan turun pada bila-bila masa sahaja, ayah dan ibu menyuruh aku pulang dahulu mengangkat kain baju di ampaian serta menjaga rumah.
Di pertengahan jalan, tiba-tiba hujan turun dengan begitu lebat sekali. Oleh kerana tak ada tempat lain lagi hendak berteduh, aku terus berlari ke pondok pemuda itu yang kebetulan terletak tidak jauh dari jalan ke kebun ayahku.
Semasa tiba di sana, dia sudah sedia berada di situ kerana berteduh juga. Dia faham maksud aku ke situ lantas mempelawa aku masuk ke pondoknya itu. Aku yang agak malu tiada pilihan. Kalau tidak aku akan kebasahan. Nak kembali ke kebun ayah, dah jauh. Jadi mahu tak mahu aku terpaksa berteduh di situ.
Ketika itu dia hanya berseluar pendek dan berbaju singlet sahaja. Badannya yang berminyak dengan peluh sedikit berbau.

Aku pula hanya berbaju T dan berkain batik. Di sebabkan semasa dalam perjalanan ke pondoknya tadi aku terkena hujan, maka ada kebasahan pada tubuh aku sehingga menampakkan isi pinggulku yang bulat padat itu.
Aku tak sangka matanya hanya memerhati ke tempat itu. Cuma apabila kami berbual, aku mula terasa yang dia cuba untuk menggoda aku sehingga termasuk ke dalam perangkapnya. Walaupun menyedari keadaan itu, tetapi aku tak boleh berbuat apa-apa sebab aku dah tiada tempat lain untuk pergi. Mahu tak mahu aku terpaksa tersenyum mendengar ungkapan kata-katanya yang banyak berbau lucah itu.
Cuma ketika itu, dalam hati aku menyumpah-nyumpah, tak sangka, selama ini dia hanya alim kucing sahaja. Ada bahaya yang sedang menanti aku. Aku harus bertindak sebelum terlambat jika mahu selamat. Tetapi aku sebenarnya memang sudah terlambat. Dia lebih pantas menghidu perasaan hati aku. Belum sempat aku nak beredar dari situ untuk merempuh hujan, dia terus memegang tanganku dan sekaligus cuba untuk mencium aku.
Aku jadi panik. Ketika itu aku tahu apa akan terjadi seterusnya. Aku cuba melawan dan meronta sambil merayu supaya dia tidak mengapa-apakan aku. Namun rayuanku tidak dipedulikan. Dia tiba-tiba jadi ganas. Tubuh aku dijatuhkan dan kemudian digomol semahu-mahunya sehingga aku jadi lemas.

Aku semakin lemah dan dia pula semakin bertenaga. Segala yang aku pakai sudah terlucut dari badan, begitu juga dia. Kami sama-sama sudah tidak berpakaian. Hujan terus turun mencurah-curah dan selepas itu, berakhirlah status gadisku. Aku menjadi janda tanpa nikah dalam sekelip mata.
Mahkota kegadisanku telah dirobek oleh lelaki yang selama ini bersikap alim. Lelaki yang pernah aku bayang dan idamkan untuk menjadi teman hidupku, telah menjadikan aku mangsa kerakusan nafsunya sendiri. Aku terdampar lesu bersama esak tangis yang kuatnya sama seperti bunyi air hujan yang jatuh di atas atap zink di bumbung pondok buruknya itu.
Oleh kerana terlalu kecewa dan takut dengan ugutannya, aku terus meredah hujan pulang ke rumah dalam keadaan lesu sekali. Bagi aku, petang itu adalah petang paling jahanam dalam hidup aku. Kenapalah manusia sebaik aku harus menerima dugaan berat ini. Dan kenapalah ada manusia hipokrit dan tak berhati perut di zaman serba canggih ini.
Malam itu aku tak dapat tidur. Ibu dan ayah menyedari perubahan diri aku, tetapi mereka hanya menyangkakan yang aku tak sihat sebab terkena hujan. Mahu sahaja rasanya mulut aku menceritakan, tetapi teringat pada ugutannya, aku jadi takut dan terus membatalkan niat tersebut.

Berminggu-minggu aku tak keluar rumah. Aku banyak menghabiskan masa aku di rumah. Ke kebun hanya ayah dan ibu sahaja yang pergi. Alasan yang aku beri, tak sihat. Ibu dan ayah tak kisah, malah memang mereka tak menggalakkan aku mengikut mereka. Selama ini pun hanya aku yang sengaja nak menolong sebab bosan di rumah seorang diri.
Hidup aku benar-benar berubah selepas itu. Aku tidak lagi seriang dahulu. Bayangan apa yang berlaku ke atas aku sering menjelma. Setiap kali bayangan itu hilang, aku menangis. Tak sangka, akhirnya aku terpaksa menerima bala itu. Apakah salahku dan kenapa aku harus melalui detik hidup sebegitu?
Pemuda itu juga tak aku dengar khabar beritanya. Apakah dia masih berada di dalam kampung itu atau sudah lari membawa diri. Tapi yang nyata, aku semakin meloya dan sering muntah-muntah. Mulanya memang ibu tak perasan, tapi lama kelamaan dia mula mengesyaki sesuatu berlaku pada aku apabila aku beritahu yang aku sudah tidak datang bulan lagi.
Melenting ibu mendengar pengakuan aku. Lantas dia memaksa supaya aku menceritakan apa yang telah berlaku. Menurut ibu, kalau boleh diselesaikan cara baik, dia akan menyelesaikannya, kalau tidak dia sanggup melakukan apa sahaja sebagai tanda membalas dendam. Ayah pula dah tak boleh nak berkata apa-apa lagi. Dia hanya mengucap panjang dan sering termenung mengenangkan nasib.

Oleh kerana terus didesak, akhirnya aku tiada pilihan, apa yang berlaku terpaksa aku ceritakan. Maka dengan perasaan amat marah, ayah mencari pemuda itu. Dia membawanya balik ke rumah dan bersemuka dengan aku. Dengan penuh berani dia mengaku, dan sanggup menerima apa juga hukuman. Menurutnya, apa yang dilakukannya itu adalah kerana terlalu marah pada aku yang dianggapnya sombong dan tak mahu membalas cintanya.
Untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sudah keruh, ayah dan ibu tiada pilihan. Mereka mengaturkan perkahwinan segera untuk kami. Dalam tempuh tiga minggu sahaja, aku dan dia sah menjadi pasangan suami isteri.
Mulanya memanglah ada suara-suara sumbang dari orang kampung yang tak puas hati dan mengesyaki sesuatu kerana perkahwinan tersebut dibuat secara tergesa-gesa, tetapi ayah dan ibu pandai menepis. Mereka mengatakan yang majlis tersebut terpaksa dibuat segera memandangkan suami aku tak punya sesiapa dan aku pula dah tak sabar-sabar nak bergelar isteri. Hilanglah tohmahan dan selamatlah kami dari menjadi mangsa umpat keji.

Sejak itu, aku bergelar isteri. Kehidupan kami yang mulanya agak runcing kerana perasaan marah aku terhadapnya masih sukar hendak dibuang, tetapi akhirnya kami jadi bahagia apabila lahirnya anak sulong kami. Ayah dan ibu amat bahagia dan gembira. Oleh kerana ayah dan ibu tak mahu rasa sunyi, aku dan suamiku tinggal di rumah mereka.
Kini aku terus berada di kampung bersama suami dan dua orang anak kami. Ayah sudah enam bulan meninggal dan ibu masih sihat. Dia tidak dibenarkan suamiku untuk melakukan apa-apa kerja kerana suamiku sendiri sekarang menjadi tunggak rumahtangga. Semoga ibu akan terus sihat untuk membolehkannya terus hidup bersama aku sehingga anak aku besar.
Inilah kisah yang tidak akan aku lupakan sepanjang hayat. Mesej di sebalik kisah ini, anda harus sentiasa beringat-ingat. Jangan cepat percaya atau mudah tergoda pada sikap atau sifat seseorang. Sebaliknya sentiasalah berhati-hati kerana jika anda tersilap langkah, anda sendiri yang akan menerima padah.

NASIHAT:
Kadang-kadang apa yang berlaku pada kita sebenarnya adalah sesuatu yang memang kita tidak sedari akan berlaku dan kalau boleh mahu mengelakkannya. Tetapi di sebalik itu, kita lupa pada sikap dan keprihatinan kita sendiri. Manusia akan cepat lupa pada apa yang dilihatnya indah, menarik dan menawan perasaan, tanpa mahu memikirkan tentang musibah dan kemudaratan seandainya tersalah langkah.

Di dalam kisah di atas, jelas pada kita sikap berhati-hati yang dimiliki oleh gadis ini, tetapi di masa yang sama dia tak dapat mengawal perasaan kasih dan cintanya pada lelaki yang dilihatnya begitu baik dan alim. Tanpa mahu mencemburuikan perangai lelaki tersebut, dia dengan berani cuba menumpang teduh di pondok yang sunyi dan terpencil ketika hujan.
Sepatutnya apabila dia sudah nampak lelaki itu berada di sana, dia harus melangkah pergi meredah hujan kerana risiko berudaan dengan lelaki di tempat sebegitu amat tinggi. Di sinilah kelemahan gadis ini dan atas kelemahan tersebut, dia terpaksa menerima padah.

Nasib baiklah akhirnya lelaki bertanggungjawab tidak melarikan diri atau lepas tangan, kalau tidak tanggunglah sendiri akibat dari perbuatan terkutuk tersebut. Memang cara dan keputusan berkahwin itu baik dan digalakkan. Namun mereka harus ingat, dosa berzina sebelum itu tetap ada dan tak akan terhapus. Anak yang dilahirkan itu tetap anak luar nikah dan dia harus diberitahu apabila sudah dewasa nanti, apatah lagi jika dia perempuan.
Laksanakan tanggungjawab itu dengan baik. Jangan ingat tindakan yang diambil itu sudah menghapuskan segala dosa yang telah dilakukan. Dosa tetap dosa dan zina tetap zina. Bertaubatlah dan mintalah ampun pada Tuhan. Hanya dia yang layak mengampunkan pasangan ini.